10 PESANAN ALLAH S.W.T KEPADA NABI MUSA A.S.
|
Undur Depan |
Abul-Laits Assamarqandi meriwayatkan kepada sanadnya dari Jabir bin Abdillah r.a.
berkata Rasulullah S.A.W bersabda : "Allah S.W.T. telah memberikan kepada Nabi
Musa bin Imran a.s. dalam alwaah 10 bab :
1. Wahai Musa jangan menyekutukan aku dengan suatu apa pun bahawa aku
telah memutuskan bahawa api neraka akan menyambar muka orang-orang
musyrikin.
2. Taatlah kepada-Ku dan kedua orang tuamu nescaya Aku peliharamu dari
sebarang bahaya dan akan Aku lanjutkan umurmu dan Aku hidupkan kamu
dengan penghidupan yang baik.
3. Jangan sekali-kali membunuh jiwa yang Aku haramkan kecuali dengan hak
nescaya akan menjadi sempit bagimu dunia yang luas dan langit dengan semua
penjurunya dan akan kembali engkau dengan murka-Ku ke dalam api neraka.
4. Jangan sekali-kali sumpah dengan nama-Ku dalam dusta atau derhaka
sebab Aku tidak akan membersihkan orang yang tidak mensucikan Aku dan tidak
mengagung-agungkan nama-Ku.
5. Jangan hasad dengki dan irihati terhadap apa yang Aku berikan kepada
orang-orang, sebab penghasut itu musuh nikmat-Ku, menolak kehendak-Ku,
membenci kepada pembahagian yang Aku berikan kepada hamba-hamba-Ku dan
sesiapa yang tidak meninggalkan perbuatan tersebut, maka bukan daripada-Ku.
6. Jangan menjadi saksi terhadap apa yang tidak engkau ketahui dengan
benar-benar dan engkau ingati dengan akalmu dan perasaanmu sebab Aku
menuntut saksi-saksi itu dengan teliti atas persaksian mereka.
7. Jangan mencuri dan jangan berzina isteri jiran tetanggamu sebab nescaya
Aku tutup wajah-Ku daripadamu dan Aku tutup pintu-pintu langit daripadanya.
8. Jangan menyembelih korban untuk selain dari-Ku sebab Aku tidak
menerima korban kecuali yang disebut nama-Ku dan ikhlas untuk-Ku.
9. Cintailah terhadap sesama manusia sebagaimana yang engkau suka
terhadap dirimu sendiri.
10. Jadikan hari Sabtu itu hari untuk beribadat kepada-Ku dan hiburkan anak
keluargamu. Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda lagi : "Sesungguhnya Allah
S.W.T menjadikan hari Sabtu itu hari raya untuk Nabi Musa a.s. dan Allah S.W.T
memilih hari Jumaat sebagai hari raya untukku."